" Mesyuarat Bersama Koperasi Usahawan Melayu Negeri Sembilan Berhad (KUMNSB) dan Gabungan Penjaja Dan Peniaga Melayu Negeri Sembilan (GAPEMA) - Perhubungan Negeri Sembilan : 2:00pm/Lokasi: Pejabat Amber Glo Development Sdn. Bhd "

Jumaat, 5 Februari 2016

PELANCARAN GAPEMA (Gabungan Penjaja Dan Peniaga Melayu Malaysia)

KUCHING: Penjaja dan peniaga kecil Melayu dan Bumiputera negeri ini harus memanfaatkan bantuan serta khidmat sokongan disediakan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA) Cawangan Sarawak meningkatkan perniagaan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata GAPEMA Sarawak boleh menjadi badan rujukan kepada golongan terbabit memperolehi pelbagai maklumat perniagaan seperti peluang pasaran, bantuan kewangan disediakan kerajaan pusat serta negeri dan sebagainya.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pembukaan pejabat GAPEMA pertama di Sarawak kerana boleh berperanan sebagai rujukan pelbagai aspek selain berkongsi rahsia kejayaan ahli-ahlinya,” katanya pada sidang media selepas perasmian pejabat dan mesyuarat agung pertama GAPEMA  Sarawak di Wisma Pheonix, Jalan Song Thian Cheok di sini semalam.
Mohd Naroden mahu peniaga dan penjaja Bumiputera mendaftar dengan SME Corp supaya mereka berpeluang menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan seperti bantuan, subsidi dan program pameran produk di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, masa ini terdapat kira-kira 100,000 peniaga dan penjaja di Sarawak dikategori sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) namun jumlah itu hanya 45,000 mendaftar dengan SME Corp.
Beliau menambah, 70 peratus daripada golongan itu berada di luar bandar dan majoritinya terlibat dalam perniagaan kotej berasaskan makanan serta produk pertanian.
Sementara itu, Presiden GAPEMA Datuk Muhammad Mahmood berkata penubuhan pejabat GAPEMA di Sarawak membolehkan pertubuhan itu memberi lebih tumpuan kepada penjaja dan peniaga Melayu serta Bumiputera di negeri ini.
“Ini memastikan peniaga dan penjaja di Sarawak tidak ketinggalan dalam apa juga kemudahan serta faedah dinikmati ahli-ahli GAPEMA di Semenanjung Malaysia.
“GAPEMA juga memainkan peranan melihat seterusnya menangani isu bersangkut-paut dengan kumpulan ini. Kita tidak mahu mereka ditindas oleh kumpulan peniaga lebih besar,” katanya.
Menurutnya, GAPEMA mencari jalan dan kaedah membolehkan peniaga dan penjaja kecil dapat terus bertahan ekoran kegawatan ekonomi ketika ini.
Pada masa sama, memastikan kepentingan sedia ada kumpulan itu seperti mendapatkan lesen serta bantuan kewangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dilindungi dan dimanfaat sepenuhnya.
Hadir sama Timbalan Presiden GAPEMA Semenanjung Malaysia (Perak) Datuk Omar Ahmad, Timbalan Presiden GAPEMA (Sabah/Sarawak) yang juga Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Sarawak (PPK1MS), Narawie Ibrahim serta ahli-ahli jawatankuasa GAPEMA Semenanjung Malaysia.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan